fbpx

Gempa bumi: 10 pasukan penilai Nadma ke Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menghantar satu Pasukan Penilaian terdiri daripada 10 anggota terlibat ke Yangon, Myanmar hari ini.

Menurut Kementerian Luar, pasukan penilai itu akan memberi bantuan teknikal dan menjalankan penilaian keperluan bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana yang dilaksanakan.

Katanya, berdasarkan dapatan pasukan penilaian awal ini, satu lagi pasukan Nadma melibatkan 40 anggota dijadualkan berlepas esok.

“Ia akan memberi tumpuan kepada kawasan keutamaan yang dikenal pasti dalam penilaian awal, bagi memastikan bantuan Malaysia disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa.

“Kementerian Luar sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini.

“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa mereka di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, ASEAN bersedia untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara.

Katanya, negara-negara anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre).

Jelanya, langkah itu bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.

“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN.

“Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI