SHAH ALAM – Permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema terkenal di Seksyen 7 di sini, masih belum mendapat kelulusan untuk beroperasi kepada pengunjung.
Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd.Fauzi Mohd. Yatim berkata, pelan bangunan mengenai telah dihantar kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan akan dibincangkan dalam mesyuarat One Stop Centre (OSC) awal April.
“Kita akan semak dari segi teknikal kerana selagi tidak mendapat kelulusan KM (Kebenaran Merancang), permainan itu tidak boleh beroperasi,”katanya ketika ditemui pada majlis Iftar bersama Media, malam tadi.
Beliau menambah, selepas mendapat kelulusan OSC, proses seterusnya akan mengambil masa kira-kira sebulan bagi pemeriksaan oleh agensi berkaitan.
“Jika ada sebarang ketidakpatuhan, pihak pengurusan perlu melakukan penambahbaikan sebelum boleh beroperasi. Kalau semua berjalan lancar dan memenuhi syarat, baru boleh dibuka,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita cedera selepas terkena pelampung yang terjatuh dari penyangkut permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema popular tersebut.
Susulan itu, MBSA turut mendedahkan sebanyak sembilan notis kesemuanya telah dikeluarkan pihaknya terhadap pengurusan taman tema itu sejak 14 November tahun lalu. – KOSMO! ONLINE