fbpx

Ganjaran lumayan menanti City, Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CITY berpeluang menebus kekecewaan di pentas UCL dengan menjuarai Piala Dunia Kelab kali ini. - AFP

LONDON – Manchester City dan Chelsea berpotensi memperoleh sehingga £97 juta (RM555.6 juta) dalam edisi baharu Piala Dunia Kelab 2025 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada Jun nanti.

Kejohanan yang sebelum ini disertai hanya tujuh pasukan itu kini diperluaskan kepada 32 kelab dan akan dianjurkan setiap empat tahun sekali.

Edisi sulung format baharu akan berlangsung dari 15 Jun hingga 13 Julai 2025, menyaksikan kelab-kelab terbaik dari enam konfederasi bola sepak dunia bersaing untuk merebut gelaran.

Sebagai juara Liga Juara-Juara Eropah pada 2021 dan 2023, Chelsea serta Manchester City layak secara automatik mewakili Eropah dalam kejohanan tersebut dan bakal bersaing dengan gergasi-gergasi lain termasuk Real Madrid dan Bayern Munich.

Dengan jumlah dana hadiah keseluruhan mencecah £775 juta (RM4.4 bilion), kelab-kelab akan menerima bahagian masing-masing berdasarkan kehadiran dan prestasi mereka.

Sebanyak £407 juta (RM2.3 bilion) akan diagihkan secara langsung kepada semua pasukan yang bertanding, sementara £368 juta (RM2.1 bilion) lagi diberikan mengikut pencapaian dalam kejohanan tersebut.

Kelab-kelab utama seperti City, Chelsea, Real dan Bayern memainkan peranan penting dalam kejayaan edisi baharu ini dan mereka dilaporkan telah merundingkan bahagian pendapatan yang lebih besar, mengambil kira prestasi sukan serta nilai komersial mereka.

Menurut laporan, setiap kelab yang melepasi peringkat kumpulan dijangka memperoleh sekurang-kurangnya £40 juta (RM229 juta), sementara pasukan yang muncul juara boleh membawa pulang hadiah lumayan sehingga £97 juta (RM555.6 juta).

Dengan format baharu dan jumlah ganjaran lumayan, Piala Dunia Kelab 2025 dijangka menjadi kejohanan yang penuh dengan aksi mendebarkan serta persaingan sengit antara kelab-kelab terbaik dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI