fbpx

‘Gangster Duo’ berpisah demi masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE (kiri) dan Ee Wei pernah meraih tiga gelaran antarabangsa sejak mula digandingkan pada 2022.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan beregu campuran negara di ranking keempat dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan dipisahkan dan bersaing dengan pasangan baharu.

Ee Wei, 24, bakal digandingkan dengan Loo Bing Kun sementara Tang Jie, 27, akan berpasangan dengan pemain muda, Chan Wen Tse sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan membentuk kombinasi terbaik.

Pengarah kejurulatihan beregu, Rexy Mainaky menjelaskan, keputusan dibuat untuk memberi peluang kepada kedua-dua pemain itu mencari hala tuju dan permainan mereka akan dinilai dalam tempoh lima kejohanan selepas ini.

“Dalam situasi seperti ini, banyak perbincangan antara jurulatih dan pemain diperlukan. Kita perlu memahami perasaan mereka.

“Hubungan gandingan dalam sukan badminton ini ibarat suami isteri, pasti ada perselisihan, tetapi yang lebih penting adalah mencari punca masalah tersebut.

“Apa yang kita lihat, Ee Wei seorang yang tidak mahu kalah, manakala Tang Jie pula lebih pendiam. Ini memberi kesan kepada prestasi mereka yang tidak konsisten.

“Tujuan perubahan ini adalah untuk memberi mereka peluang lebih ‘segar’ dengan pasangan baharu,” kata Rexy ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara semalam.

Rexy berkata, mereka akan diuji keserasian bersama pada lima kejohanan iaitu Terbuka Taiwan bermula 6 hingga 11 Mei, Terbuka Thailand (13-18 Mei), Malaysia Masters (20-25 Mei), Terbuka Singapura (27 Mei-1 Jun) serta Terbuka Indonesia pada 3 hingga 8 Jun.

“Kami akan menilai prestasi mereka sebelum membuat keputusan sama ada mengekalkan atau mengembalikan Ee Wei dan Tang Jie sebagai pasangan asal.

“Kami mengharapkan pada akhirnya mereka sedar masing-masing ada kelebihan tersendiri. Perubahan ini akan membantu mereka melihat gambaran lebih jelas tentang diri mereka dan siapa pasangan yang paling sesuai untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, BAM memutuskan untuk memisahkan gandingan ‘Gangster Duo’ itu selepas tiada persefahaman antara kedua-dua pemain berkenaan yang difahamkan sejak Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI