fbpx

Fayyad Affan keluar dari celahan dinding sebelum hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Celahan dinding yang dipercayai tempat Muhammad Fayyad Affan keluar ketika berada di Kuarters JPS Kampung Landak Paya di Kupang, Baling semalam.

BALING – Seorang bapa tidak menyangka anak sulungnya, Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, keluar melalui celahan dinding dapur rumah mereka lalu hilang kira-kira pukul 12.50 tengah hari, semalam.

Mohd Fakhri Aziz, 30, berkata, rumah yang mereka diami di Kuarters JPS Kampung Landak Paya, Kupang, di sini bersambung dengan rumah ibu bapanya.

Katanya, terdapat ruang untuk ke belakang rumah namun ditutup dengan sangkar kucing dan juga celahan dinding rumah yang bersambung kira-kira 30 sentimeter.

“Berkemungkinan Fayyad keluar melalui celahan dinding ini ketika dia ke rumah neneknya terletak bersebelahan rumah kami kerana pintu hadapan rumah memang sentiasa bertutup bagi mengelakan Fayyad keluar.

“Ketika itu saya sedang tidur kerana keletihan bekerja pada sebelah malam. Kami tersedar Fayyad tiada di rumah apabila bapa saya, Aziz Saad, 60, bertanyakan Fayyad. Kami kemudian mencarinya di dalam rumah serta di sekeliling rumah, namun tidak menjumpainya,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Fayyad Affan yang mengalami masalah autisme dipercayai keluar melalui celahan dinding belakang rumah mereka apabila melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Katanya, Muhammad Fayyad Affan yang ketika itu memakai baju singlet biru tua dan seluar pendek biru muda kelihatan berjalan dari belakang rumah di sebelah kiri lalu keluar melalui pintu pagar rumah dan berjalan menuju ke sebelah kanan.

Katanya lagi, dia dan isterinya, Nur Atikah Yusuf, 27, amat risau memikirkan keadaan anak mereka itu, tambahan pula Aidilfitri akan menjelang tiba beberapa hari lagi.

Dia berharap agar anaknya itu segera ditemui dalam keadaan selamat agar mereka dapat beraya dan gembira bersama di hari raya itu nanti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI