BALING – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak empat tahun, Muhammad Fayyad Affan Mohamad Fakhri yang hilang sejak semalam dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang di sini diteruskan pagi ini.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, setakat pukul 10 pagi tadi, tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi pencarian mangsa.
“Operasi disertai 79 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), enam anggota dari BBP Sungai Petani dengan turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk kampung.
“Operasi hari ini dipecahkan kepada tiga sektor di bahagian sungai di bantu pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM dengan tiga anggota serta dua ekor anjing,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bagi sektor pertama, operasi pencarian dilakukan di pesisir serta kawasan Sungai Kupang oleh anggota PPDA.
“Radius pencarian dilakukan dari lokasi adalah kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) Kampung Paya Landak ke Kuala Pegang,” ujarnya.
Katanya, bagi sektor kedua di bahagian daratan iaitu di hutan dipecahkan kepada agensi penyelamat lain manakala sektor ketiga adalah kawasan kebun kelapa sawit. – KOSMO! ONLINE