LONDON – Arsenal menerima berita gembira apabila bintang pasukan, Bukayo Saka dijangka pulih tepat pada masanya untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham di Stadium Emirates pada Rabu ini.
Difahamkan, pemain sayap sensasi England itu mempamerkan perkembangan positif dalam pemulihannya dan berkemungkinan bakal mendapat minit permainan terlebih dahulu sebelum Arsenal menghadapi Real Madrid dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Menariknya, Saka juga dilihat kembali menjalani latihan bersama skuad utama sejak tersisih selama tiga bulan disebabkan kecederaan hamstring ketika menentang Crystal Palace pada 21 Disember lalu.
“Harapan semakin meningkat di Arsenal bahawa Saka akan kembali beraksi apabila mereka bertemu Fulham pada Selasa malam (awal pagi Rabu ini),” menurut sumber dalaman kelab.
Kehilangan Saka memberi kesan besar kepada Arsenal dalam perebutan kejuaraan EPL musim ini yang menyaksikan mereka kini di tempat kedua, ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.
“Sepanjang rehat antarabangsa, Saka telah meningkatkan sesi latihannya bersama bola. Jika semuanya berjalan lancar, dia mungkin disenaraikan dalam skuad menentang Fulham,” tambah sumber tersebut.
Selain Saka, Arsenal turut berdepan krisis kecederaan apabila Kai Havertz dan Gabriel Jesus terpaksa berehat sehingga akhir musim, sementara Martin Odegaard serta Ben White juga terlepas beberapa perlawanan akibat masalah kecergasan.
Kembalinya Saka pastinya memberi suntikan moral besar buat skuad bimbingan Mikel Arteta yang masih mengharapkan kejayaan musim ini sama ada gelaran EPL atau Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI