PETALING JAYA – Dua lelaki yang diberkas polis selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14 di Subang Jaya dan melanggar seorang anggota polis semalam, di tahan reman.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek ditahan reman masing-masing selama empat dan enam hari, bermula hari ini.
Beliau berkata, suspek yang reman enam hari itu berumur 30an dan telah selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan peluru serta berada dalam keadaan stabil.
“Seorang anggota polis yang dirempuh semasa kejadian pula mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah selain ujian air kencing mereka positif methamphetamine,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Wan Azlan berkata, kedua-dua suspek juga mengaku terlibat dengan kes berkenaan.
“Semasa tangkapan dibuat, turut dirampas barang-barang milik pengadu. Soal siasat lanjut juga masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dengan lain-lain kes,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan, cubaan dua lelaki melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah di Jalan SS14, Subang Jaya, berakhir dengan penahanan selepas mereka melanggar seorang anggota polis.
Keadaan itu turut memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang, disusuli dengan tangkapan kedua-dua suspek warga tempatan di jejambat Jalan SS14 selepas dikejar sepasukan polis. – KOSMO! ONLINE