fbpx

DBKL lapor polis insiden ‘abang belon’, polis janji siasatan telus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video seorang penjual belon dikasari oleh anggota penguat kuasa DBKL.

PETALING JAYA – Pihak polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan telus terhadap insiden membabitkan sekumpulan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang penjual belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, laporan berkaitan telah dibuat oleh seorang anggota penguat kuasa DBKL pada malam yang sama.

Menurut beliau, semua pihak yang terlibat dalam kejadian itu akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam masa terdekat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas. Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

“Kita akan panggil (semua) yang terlibat untuk bagi keterangan. Pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, DBKL memaklumkan peniaga belon itu sudah diberi teguran kali ketiga untuk beredar sebelum bertindak agresif dan menolak anggota penguat kuasa DBKL.

DBKL dalam kenyataan berkata, sebelum kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu berlaku, anggota penguat kuasa DBKL yang melakukan rondaan berkala melihat kehadiran beberapa penjaja tanpa lesen menjalankan aktiviti perniagaan di laluan pejalan kaki Jalan TAR.

Katanya, anggota penguat kuasa DBKL telah memberi teguran dan kebanyakan penjaja tanpa lesen memberikan kerjasama dengan beredar dari kawasan tersebut, namun ia tidak berlaku kepada peniaga belon berkenaan.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.50 malam tadi. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI