JOHOR BAHRU – Banjir yang melanda enam daerah negeri ini sejak seminggu lalu hampir pulih sepenuhnya apabila hanya tinggal satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Batu Pahat, setakat 8 pagi ini.
PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading itu menempatkan seramai 140 mangsa daripada 44 buah keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, mangsa yang tinggal tidak dapat pulang kerana kediaman mereka masih dinaiki air ekoran situasi ‘banjir termenung’.
“Jumlah itu bagaimanapun kurang berbanding seramai 236 mangsa daripada 72 buah keluarga yang ditempatkan di PPS sama pada pukul 6 petang semalam.
“Sementara itu, Jabatan Metereologi tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir atau hujan lebat berterusan bagi mana-mana daerah seluruh Johor, hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE