KLANG – Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan melibatkan bekalan daging, ayam dan sayur-sayuran di seluruh negara mencukupi sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagaimanapun, pihaknya ada menerima laporan kekurangan bekalan namun jumlahnya hanya kecil.
“Tahun ini aduan seumpama itu amat kurang dan semua (bekalan) sampai kepada pengguna.
“Bekalan bagi sambutan Aidilfitri dijamin mencukupi dan pengguna tidak bermasalah mendapatkan barangan keperluan kerana kementerian membuat persediaan awal menambahnya,” katanya selepas melancarkan program Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini, pagi ini.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan harga barangan asas sempena Aidilfitri masih terkawal dan tiada kenaikan harga.
Pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berjaya mengekang kenaikan harga sekali gus menjadikan tahun ini antara yang terbaik dalam sejarah kawalan harga menjelang musim perayaan. – KOSMO! ONLINE