TAHUN ini, dunia hiburan dimeriahkan dengan perang lagu raya apabila ramai penyanyi meluncurkan karya mereka bermula awal Ramadan lalu.
Dalam masa sama, muncul perlumbaan iklan antara terbitan syarikat korporat, jenama barangan mahupun pihak produksi bagi menjamu mata hati khalayak dengan naratif paling menyentuh hati.
Dalam durasi beberapa minit tetapi boleh menitiskan air mata khalayak, penerbitan iklan dan filem pendek raya sememangnya sejak dahulu lagi ada signifikan tersendiri dalam sistem budaya dan sosial di Malasia.
HibGlam menyenaraikan lima iklan raya menjerat jiwa musim Syawal 2025 yang wajib ditonton!
Demi Kasih
TAHUN ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut hadir dengan iklan raya berjudul Demi Kasih lakonan Johan As’ari, Zulkifli Ismail dan Rosnah Johari.
Jarang iklan memaparkan isu kekeluargaan tidak meruntun hati penonton walau sekental mana pun jiwa seseorang itu.
Iklan ini memaparkan kisah pasangan suami isteri (Zulkifli dan Rosnah) mengubah suai rumah kerana mahu menantu mereka (Jaja) rasa selesa seperti kediman di bandar.
Namun, ketika membaiki bumbung si ayah tiba-tiba jatuh dan mengalami kecederaan sehingga dimasukkan ke dalam hospital.
Selaku anak (Johan), menyesali tindakannya yang menyuarakan pendapat isteri untuk mengubah suai keadaan rumah kampung mereka.
Pada akhirnya si anak kembalikan keadaan kediaman mereka kepada susun atur lama selain memohon maaf atas kelakuannya sehingga menyusahkan orang tua sendiri.
Sulaman Kebersamaan
DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar, RHB Banking Group menyajikan iklan raya berjudul Sulaman Kebersamaan yang mengisarkan tentang
Kisah bermula apabila seorang jejaka bernama Adib Khalid berjumpa dengan seorang kanak-kanak yang dianggap mencuri baju kurung tetapi sebenarnya dia cuba mencari adiknya yang hilang.
Tampil memberi sumbangan, pihak penjaga kemudian memberitahu bahawa kanak-kanak di sana memerlukan baju raya kerana bagi mereka pakaian baharu sangat penting setiap kali menjelang raya.
Lalu, Adib menjalankan inisiatif mencari penderma baju raya bagi menggembirakan hati kanak-kanak itu.
Selepas mampu menggembirakan hati kanak-kanak di sana, Adib mencetuskan kempen Baju Raya Project bagi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam meraikan lebaran.
Kini, setiap tahun juga Masjid Wilayah Persekutuan ada menggerakkan inisiatif mengumpul dan mengagihkan baju raya terpakai kepada anak yatim dan ibu tunggal.
Tunggu Abah
Komuniti Dakwah Tarbiah tahun ini menyajikan iklan raya berjudul Tunggu Abah mengenai seorang bapa (lakonan Saiful Apek) yang kehilangan kesemua ahli keluarganya sekali gus.
Semuanya bermula apabila dia tidak mahu menyertai ahli keluarga lain ke bandar membeli-belah barangan raya kerana lebih pentingkan hobi memancing.
Selain tidak ke bandar, dia juga menolak permintaan anak lelakinya untuk membeli pelita raya dan memenuhi permintaan anak perempuan membeli beg sekolah baharu.
Dalam perjalanan ke bandar, keluarganya nahas kemalangan jalan raya akibat dilanggar pemandu mabuk.
Sehingga kini, lelaki terbabit masih tidak boleh menerima hakikat kehilangan keluarganya. Paling dalam adalah sesalan tidak berpenghujung apabila tidak dapat menunaikan permintaan terakhir anak dan isteri.
Hingga Hujung
Dua tahun berturut-turut BHP Petrol tampil mempertaruhkan iklan raya yang meruntun jiwa.
Untuk tahun ini, terdapat babak bapa lakonan Rahim Razali menzahirkan hasrat mahu berkahwin kepada anak lelakinya (Mierul Aiman).
Selepas itu, anak muda terbabit segera menghubungi kakaknya (Nabila Huda) memberitahu perkara tersebut tetapi sekeras-kerasnya melarang idea si bapa.
Meskipun berlaku pertengkaran bersama anak-anak, si bapa akhirnya dapat merealisasikan niat mengadakan majlis perkahwinan dengan seorang wanita lakonan Fatimah Abu Bakar.
Rupa-rupanya, pasangan itu sudah 40 tahun hidup bersama sebagai suami isteri, namun demi tidak merosakkan emosi, kehendak si bapa harus dilayan dek masalah hilang ingatan yang sedang dialami.
Harapan Raya
RAMAI penonton gagal mengawal emosi dengan iklan bertajuk Harapan Raya karya terbitan Avrichnation dan Hexen House sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Mana tidaknya, kisah mengenai seorang kakak yang masih hidup dalam bayang-bayang ibunya yang sudah meninggal dunia setahun lalu.
Kisah bermula apabila pelakon Sara Ali yang memegang watak kakak rajin membuat kuih untuk berniaga bagi menampung hidup keluarganya.
Sepanjang hari si kakak suka berkomunikasi dengan ibu termasuk semasa menjual kuih kepada orang kampung.
Akhirnya, pelakon Jannah Izwandy yang memegang watak adik hadir bagi menyedarkan kakaknya yang masih merindui sosok ibu mereka.
Gandingan pelakon Sara dan Jannah wajar diberi pujian apabila kedua-dua mereka mampu membuatkan penonton menitiskan air mata.