LIPIS – Meskipun telah dibina kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta terdapat penghadang konkrit di tepi jalan namun pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang masih meletakkan tong-tong sampah di tepi laluan Lingkaran Tengah Utama .
Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya meletakkan tong sampah di tepi laluan LTU sebagai persediaan menjaga kebersihan bagi sebarang kemungkinan pengguna jalan raya yang masih berhenti di kawasan itu.
“Kita meletakkan tong sampah di tepi laluan yang kerap kali pengguna jalan raya berhenti dan berhadapan isu pembuangan sampah selain meletakkan tong sampah di kawasan R&R sementara di Lipis, Bentong dan Raub.
“Sebanyak 10 tong sampah diletakkan masing-masing di R&R Kechau, R&R Lebu, R&R Mempaga dan sebanyak empat tong sampah di R&R Raub serta tiga di tepi jalan LTU Kechau dan empat di tepi jalan LTU Chegar Perah,”katanya di sini hari ini.
Sebelum ini Kosmo! sering melaporkan isu pembuangan sampah di tepi jalan LTU yang berlaku setiap kali musim cuti dan perayaan sehingga meresahkan penduduk setempat.
Bukan sahaja sampah sarap seperti botol, plastik dan bekas makanan terdapat juga individu tidak bertanggungjawab membuang air kencing dan najis di kawasan berkenaan.
Susulan itu juga bermula Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerajaan telah membina R&R sementara di Lipis, Bentong dan Raub demi keselesaan pengguna jalan raya dan memastikan tiada lagi isu pembuangan sampah.
Dalam pada itu, Sharudin berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan di kawasan terbabit dalam memastikan kebersihan laluan itu di termasuk di kawasan R&R.
Beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan kutipan sampah setiap hari termasuk pada Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan kebersihan kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE