KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,322 kes kemalangan jalan raya membabitkan 32 kematian direkodkan di seluruh negara, setakat semalam.
Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, secara keseluruhan, sebanyak 4,574 kes kemalangan dicatat pada Khamis dan Jumaat lalu.
“Pada Khamis, JSPT menerima 2,252 kes kemalangan membabitkan 13 kematian, manakala hari berikutnya terus meningkat dengan 2,322 kes dan 32 kematian.
“Statistik merekodkan peningkatan 70 kes dan 19 kematian dalam tempoh dua hari itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, sebanyak 554 lokasi di lebuh raya serta jalan Persekutuan seluruh negara yang berisiko tinggi berlaku kesesakan dan kemalangan telah dikenal pasti susulan Op Selamat 24 sempena Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia membabitkan 25 ‘hot spot’ dan 46 ‘black spot’ di lebuh raya utama.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 407 ‘hot spot’ dan 76 ‘black spot’ di seluruh negara dan daerah melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan telah diberi perhatian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). – KOSMO! ONLINE