LONDON – Pelumba Jepun, Yuki Tsunoda kini menjadi tumpuan apabila bakal menggantikan Liam Lawson dalam pasukan Red Bull seawal perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di Litar Suzuka minggu depan.
Walaupun spekulasi semakin hangat, Tsunoda tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu dan hanya fokus kepada perlumbaan bersama pasukan Racing Bulls F1 Team.
Menurut sumber dalaman, Red Bull sedang menilai prestasi Lawson yang masih gagal menyerlah sejak dinaikkan ke pasukan utama.
Dengan tiga perlumbaan sudah berlalu, Lawson masih belum mengutip sebarang mata dan sering bergelut dalam sesi kelayakan.
Sebaliknya, Tsunoda tampil lebih konsisten bersama Racing Bulls, berjaya mengutip tiga mata dan menunjukkan pemanduan yang lebih stabil.
“Saya dengar banyak cakap-cakap tentang perkara ini, tetapi saya hanya mahu terus berlumba dan lakukan yang terbaik,” kata Tsunoda.
Ketika ditanya sama ada dia bersedia jika diberi peluang mengendalikan jentera RB21, pelumba berusia 24 tahun itu tanpa ragu-ragu mendakwa dirinya sememangnya menantikan peluang untuk menyertai pasukan kendalian Christian Horner.
“Kenapa tidak? Jika peluang itu datang, saya pasti akan ambil,” ujarnya. – AGENSI