IPOH – Taktik licik dua lelaki menjual mercun dan bunga api secara ‘rahsia’ kepada orang ramai di gudang dekat Kanthan dan Klebang terbongkar selepas diserbu pasukan polis semalam.
Dalam serbuan itu, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan bersama pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM10,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, serbuan ke atas premis itu dijalankan selepas risikan dan intipan dilakukan selama seminggu.
Katanya, berdasarkan semakan, kedua-dua peniaga itu mempunyai permit menjual mercun dan bunga api namun melanggar syarat apabila menjual mercun yang tidak dibenarkan serta tiada dalam senarai permohonan.
“Rampasan dibuat di gudang di mana mercun-mercun ini disorok dan atas permintaan pelanggan barulah penjual pergi mendapatkan stok untuk dijual kepada pelanggan secara sembunyi,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Jelapang di sini hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua lelaki terbabit akan direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – KOSMO! ONLINE