PETALING JAYA – Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah di Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah itu dijangka akan beroperasi pada tahun 2026 untuk pengambilan sulung pelajar.
“Kerajaan Madani komited untuk terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya di Facebook hari ini.
Terdahulu, Fadhlina memaklumkan, beliau membuat tinjauan terhadap pembinaan SBPI Tanah Merah semalam.
Jelas beliau, kemajuan pembinaan sekolah itu adalah mengikut garis masa dan pengoperasian sekolah itu akan melonjakkan lagi prestasi daerah Tanah Merah dalam bidang pendidikan.
“Tidak sabar rasanya untuk menyambut kumpulan pertama pelajar SBPI Tanah Merah sebagai anak sulung yang akan menyertai aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan agama,” katanya. – KOSMO! ONLINE