fbpx

Sambutan Aidilfitri Madani bermula di Melaka 5 April depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) bertemu dengan rakyat Kelantan yang hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, Peringkat Negeri Kelantan di RTC Tunjong, Kota Bharu, Kelantan. - Gambar Fail / KOSMO!

PETALING JAYA – Kerajaan akan menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di lapan negeri bermula di Melaka yang sekali gus menjadi penganjuran peringkat kebangsaan pada 5 April depan.

Sekretariat Induk, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Bersama Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, selaras dengan tema “Ihsan Menyentuh Jiwa, Toleransi Menyatu Negara”, majlis ini menzahirkan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh nilai-nilai murni seperti kasih sayang, toleransi dan hormat dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Ia diharap dapat menyemai semangat kebersamaan yang merentasi perbezaan latar belakang dan fahaman, selaras dengan hasrat untuk membina masyarakat yang saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.

“Perdana Menteri akan berkunjung ke lapan negeri bermula dengan Melaka yang juga diangkat sebagai penganjuran Peringkat Kebangsaan pada 5 April (Sabtu); Selangor pada 6 April (Ahad); dan Pahang pada 11 April (Jumaat).

“Selain itu, Kelantan dan Pulau Pinang pada 12 April (Sabtu); Sarawak pada 19 April (Sabtu); Perak pada 25 April (Jumaat); dan Perlis pada 27 April (Ahad),” katanya di sini hari ini.

Katanya, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Bersama Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 5 April 2025 (Sabtu), pukul 10 pagi hingga 4 petang.

“Ia dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri Melaka sebagai negeri tuan rumah dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sebagai kementerian peneraju,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 ini adalah hasil kolaborasi strategik antara Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah dan kementerian peneraju sebagai penganjur bersama.

“Perdana Menteri akan hadir sebagai tetamu utama dan turut dihadiri oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri-negeri berkenaan.

“Majlis ini bukan sekadar acara sambutan sahaja tetapi menjadi sebuah wadah yang menyatukan rakyat melalui nilai budaya, tradisi dan kemasyarakatan,” katanya.

Selain itu, penganjuran majlis ini turut diharap dapat memperkukuh semangat kekitaan dan membuka ruang interaksi secara langsung antara rakyat dan kepimpinan negara dalam suasana yang penuh silaturahim dan muhibah.

“Acara ini juga menyerlahkan komitmen Kerajaan Madani untuk terus mendekati rakyat di semua peringkat dan aliran, di samping membina jalinan yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI