PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada rakyat Myanmar susulan gempa bumi kuat yang mengorbankan nyawa serta menyebabkan kemusnahan besar di negara itu, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia berdiri bersama rakyat Myanmar serta semua pihak yang terkesan akibat bencana tersebut selain mendoakan buat mereka dalam menghadapi situasi sukar ketika ini.
“Kami berdoa agar rakyat Myanmar diberikan kekuatan, ketabahan, dan keselamatan dalam menghadapi saat sukar ini.
“Semoga usaha menyelamat dan bantuan berjalan dengan lancar serta mereka yang memerlukan mendapat pertolongan serta sokongan dengan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi berukuran magnitud 7.4 yang melanda Myanmar pada pukul 2.21 petang turut dirasai di Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, MetMalaysia berkata, tiada ancaman tsunami dilaporkan kepada Malaysia lanjutan daripada kejadian itu. – KOSMO! ONLINE