DUBAI – Polis Dubai mengeluarkan amaran penjualan bunga api semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan menekankan hukuman berat terhadap pesalah, lapor portal berita Gulf News hari ini.
Dalam catatan di media sosial, polis menyatakan, menjual bunga api tanpa permit adalah haram. Pesalah boleh dikenakan hukuman sekurang-kurangnya satu tahun penjara dan denda tidak kurang 100,000 dirham (RM121,000)
Menurutnya, mereka yang terlibat mengimport, mengeksport, mengeluarkan atau menjual bunga api tanpa kebenaran akan berdepan undang-undang yang ketat.
Dalam catatan kesedaran baru-baru ini, Pendakwa Raya UAE berkongsi cerita tentang seorang lelaki bernama Salem yang memberi anaknya, Mohammed wang untuk membeli bunga api untuk sambutan Aidilfitri.
Tanpa menghiraukan risiko, Mohammed dan rakan-rakannya cuba menyalakan bunga api tetapi mengalami kesukaran kerana angin kencang.
Semasa mereka bergerak lebih dekat untuk menyalakan, berlaku letupan secara tiba-tiba menyebabkan kecederaan serius sehingga memerlukan rawatan di hospital. – AGENSI