PETALING JAYA – Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) meneruskan komitmennya menunaikan tanggungjawab sosial korpoart (CSR) Ramadan dengan melancarkan kempen bertemakan “Lebih Daripada Pembiayaan, Berkongsi Keberkatan Ramadan”
Menerusi kempen tersebut, syarikat menyantuni 151 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) khas untuk anak-anak gelandangan dalam satu majlis berbuka puasa istimewa di sini baru-baru ini.
Bagi menceriakan majlis tersebut, syarikat telah menyampaikan sumbangan duit raya dan peralatan sekolah kepada kumpulan anak-anak gelandangan itu.
Komitmen Planworth turut diperluaskan kepada golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL) yang mana seramai 80 individu menerima sumbangan barangan keperluan asas, makanan serta duit raya.
Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim berkata, pihaknya sentiasa mencari kelainan dalam membantu komuniti yang memerlukan dan menekankan kepentingan memberi kembali kepada masyarakat.
“Kami komited untuk menganjurkan program CSR setiap tahun sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan kami bukan sahaja berusaha untuk berkembang dalam sektor perniagaan tetapi juga mahu membangun bersama komuniti.
“Kami percaya dengan memberikan sokongan kepada masyarakat, kami dapat menginspirasikan golongan muda untuk mencapai impian mereka serta membantu golongan yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, Planworth telah memperuntukkan lebih RM35,000 dalam bentuk wang tunai, makanan, peralatan sekolah, kelengkapan barangan harian, makanan kering serta duit raya kepada SBJK dan PTGKL.
Tambah Lim, pihaknya percaya bahawa melalui usaha berterusan ini, syarikat akan dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan serta menyalurkan bantuan ke tempat yang tepat.
“Kami berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang isu sosial dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebaikan dalam masyarakat,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE