PETALING JAYA – Satu rakaman video memaparkan dua peniaga bertengkar gara-gara asap pembakaran lemang tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 17 saat tersebut turut dikongsikan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik di Facebook.
“Ya Rabb… Hari baik bulan baik, elok-eloklah pakat, jangan gaduh-gaduh,” katanya lewat malam tadi.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada petang 25 Mac lalu akibat daripada rasa tidak puas seorang peniaga air kelapa.
Peniaga air kelapa tersebut marah kerana asap pembakaran lemang oleh peniaga berhampiran mengganggu perniagaannya.
Dia kemudian bertindak menyiram tempat pembakaran lemang tersebut menyebabkan lemang yang sedang dibakar rosak.
Kejadian itu sekaligus menimbulkan keadaan tegang dan pertengkaran antara kedua-dua peniaga. – KOSMO! ONLINE