GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang dilaporkan merasai gegaran kecil susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda negara Myanmar, petang tadi.
Kosmo! difahamkan, kakitangan di beberapa agensi termasuk di Wisma Pantai yang terletak di Jalan Kampung Gajah, Butterworth diminta untuk keluar dari bangunan pejabat itu sekitar pukul 2.58 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, setakat petang ini pihaknya menerima dua laporan gegaran yang masing-masing berlaku pada pukul 2.44 dan 3 petang tadi.
Menurutnya, kejadian tersebut melibatkan sebuah kolej swasta di Wisma Green Hall dekat Padang Kota dan di bangunan residensi di Butterworth.
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan dan hantar jentera ke lokasi untuk membuat pemantauan.
“Hasil daripada pemantauan yang dilakukan oleh komander operasi didapati tidak melibatkan mangsa dan kerosakan pada bangunan.
“Hanya berlaku gegaran kecil pada bangunan berkenaan,” katanya kepada Kosmo!, di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, satu gempa bumi kuat dilaporkan melanda Myanmar pada pukul 2.21 petang tadi sehingga gegaran tersebut turut dirasai sekitar Semenanjung Malaysia.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan bahawa gempa berukuran 7.4 magnitud di 21.7 darjah Utara dan 95.7 darjah Timur dengan kedalaman 57 kilometer (km) di 55km Barat Daya dari Mandalay, Myanmar. – KOSMO! ONLINE