KUALA TERENGGANU – Seorang pemandu bas ekspres yang sedang khayal pil kuda ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas saringan air kencingnya positif dadah jenis berkenaan pada pukul 9.45 pagi.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, suspek sepatutnya memandu bas ekspres membawa penumpang Kuala Terengganu ke Pasir Gudang, Johor.
“Kita telah mengarahkan pihak syarikat bas ekspres terbabit segera menukar pemandu bas utama tersebut bagi memastikan keselamatan penumpang. Isu penggunaan dadah dalam kalangan pemandu bas ekspres amat dipandang serius kerana ia boleh merisikokan nyawa penumpang,” katanya ketika mengetuai Operasi Khas sempena Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) peringkat Terengganu.
Dalam pada itu, Zamri berkata, sebanyak 940 notis kompaun telah dikeluarkan sepanjang pelaksanaan operasi terbabit di negeri ini sejak 24 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE