BERA – Gara-gara seekor lembu, seorang pekerja restoran tidak sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Jalan Felda Bukit Kepayang di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Hafiz Khairi,26, dalam perjalanan dari arah Bera menghala ke Felda Bukit Kepayang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Vario telah melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan lalu terbabas ke bahu jalan.
“Akibat kejadian mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Bera untuk bedah siasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering.
“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada pemandu motosikal yang telah melanggar binatang semasa menunggang motosikal sehingga menyebabkan kemalangan berlaku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE