NAYPYIDAW – Pemerintah junta Myanmar membuat permintaan yang jarang berlaku apabila memohon bantuan kemanusiaan antarabangsa dan mengisytiharkan darurat di enam rantau selepas gempa bumi kuat menggegarkan negara itu hari ini.
Beberapa wartawan AFP melihat ketua junta, Jeneral Min Aung Hlaing tiba di sebuah hospital di Naypyidaw di mana mangsa-mangsa cedera dirawat selepas gegaran bermagnitud 7.7 itu melanda tengah Myanmar.
“Kami mahu masyarakat antarabangsa memberikan bantuan kemanusiaan secepat mungkin ,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun kepada AFP di hospital itu.
Bilangan korban dan mangsa cedera belum diumumkan tetapi fakta bahawa kerajaan tentera Myanmar membuat rayuan yang sebelum ini jarang dilakukan, membayangkan angka korban mungkin tinggi.
Junta tentera menyatakan dalam satu kenyataan bahawa darurat bencana berkuat kuasa di enam kawasan paling teruk terjejas iaitu Sagaing, Mandalay, Magway, timur laut Negeri Shan , Naypyidaw dan Bago.
Menurut Zaw Min Tun, derma darah diperlukan untuk pesakit di Mandalay, Naypyidaw dan Sagaing. – A