TEXAS – Pasukan Monster Energy Yamaha kini bersiap sedia untuk menghadapi pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Litar Americas (COTA), Austin selepas bergelut dalam dua perlumbaan sebelum ini.
Dua pelumba utama Yamaha, Fabio Quartararo dan Alex Rins hadir ke Austin dengan semangat tinggi sekali gus mengharapkan keputusan yang lebih baik pada hujung minggu ini.
Quartararo kini menghuni tangga ke-15 dalam carta kejuaraan dan berazam untuk bangkit di litar yang memberikan banyak kenangan manis kepadanya di Grand Prix (GP) Americas.
“Saya kurang bernasib baik di Argentina, jadi saya gembira dapat kembali ke trek minggu ini. Kami tahu masih banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya harap kami boleh membuat peningkatan.
“Saya suka litar COTA dan juga Austin secara keseluruhannya, jadi saya sangat menantikan perlumbaan ini,” katanya.
Pelumba Perancis itu pernah menaiki podium di COTA pada 2015 (Moto3), 2021 (MotoGP), dan 2023 (MotoGP), menjadikannya antara pesaing yang perlu diberi perhatian hujung minggu ini.
Bagi Rins, COTA mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana pelumba Sepanyol itu pernah memenangi GP Americas pada 2023 selain muncul naib juara dalam perlumbaan sprint.
“Saya sentiasa gembira berada di COTA kerana ini adalah satu litar kesukaan saya. Ia adalah litar yang teknikal, jadi kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan tetapan yang terbaik.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki, jadi kami akan cuba mencari penyelesaian hujung minggu ini,” katanya. – AGENSI