SHAH ALAM – Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), Mohd. Khaidzir Shahari dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkuatkuasa 7 April depan.
LZS dalam kenyataan berkata, pelantikan Mohd. Khaidzir bagi menggantikan Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan tiga tahun sebagai CEO LZS pada 31 Mac ini.
Katanya, Mohd. Khaidzir mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang tadbir urus korporat, kewangan, pengurusan risiko, pematuhan, kawalan dalaman dan pengauditan.
“Pelantikan Mohd. Khaidzir diharap dapat memperkukuh pengurusan dan gerak kerja LZS.
“Di samping itu, mempertingkatkan tadbir urus korporat agar LZS kekal berdaya saing serta terus memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Selangor, khususnya golongan asnaf,” katanya.
Tambah LZS, Mohd. Khaidzir sebelum ini merupakan rakan kongsi dan Pengarah Eksekutif di KPMG Malaysia selain mengetuai Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan di KPMG Management & Risk Consulting Sdn. Bhd. – KOSMO! ONLINE