fbpx

‘Mall mula bergoyang, baru sedar gempa bumi sedang berlaku’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hariz berdepan detik cemas apabila buat pertama kalinya merasai gegaran gempa bumi sewaktu berada di sebuah pusat beli-belah di Bangkok.

PETALING JAYA – Pelakon Hariz Hamdan berdepan detik cemas apabila buat pertama kalinya merasai gegaran gempa bumi sewaktu berada di sebuah pusat beli-belah di Bangkok, Thailand, tengah hari tadi.

Hariz, 23, pada mulanya menyangka dia berasa pening kepala, tetapi selepas melihat lampu di pusat beli-belah tersebut mula bergoyang barulah tersedar gempa bumi sedang berlaku.

“Saya ingat pening kepala sebab tidak sahur dan kurang minum air, tetapi selepas saya melihat semua orang mula berlari barulah sedar bahawa saya bukan pening kepala.

“Memang rasa gegarannya dan saya rasa takut serta mula lari keluar daripada bangunan. Saya tahu berada di luar bangunan dan kawasan adalah lebih selamat kerana bimbang bangunan runtuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Hariz, ketika kejadian dalam pukul 1 petang itu orang ramai diarahkan untuk berada di stadium kerana kawasan tersebut lebih selamat tanpa bangunan tinggi.

“Sebenarnya daripada pukul 1 tengah hari sehingga 5 petang semua orang masih berada di tanah lapang dan luar bangunan.

“Ini kerana semua bangunan ditutup dan kami menunggu arahan daripada pihak kerajaan Thailand sama ada selamat atau tidak untuk masuk ke bangunan termasuk hotel kami, bimbang akan gelombang kedua. Alhamdulillah kami semua selamat dan berada dalam keadaan baik.

“Disebabkan keselamatan, acara pelancaran produk terbaharu Asics yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang di sebuah pusat beli-belah turut dibatalkan,” ujarnya yang merupakan duta Asics Malaysia.

Dalam pada itu kata Hariz, penduduk tempatan turut berada trauma dengan kejadian gempa bumi itu kerana ini adalah kali pertama kali berlaku di Bangkok.

Sambung pelakon filem Sahak Gengster itu lagi, dia berada di Bangkok, Thailand selama 3 hari 2 malam atas urusan kerja dan akan pulang sebelum sambutan Aidilfitri.

Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda Sagaing, Mynamar pada pukul 12.50 tengah hari (waktu tempatan) Jumaat dengan kedalaman 10 kilometer.

Disebabkan itu, gegarannya dirasai sehingga ke Thailand. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI