KLANG – Perbuatan seorang ahli perniagaan menghina, mengugut dan mencederakan pengawal peribadinya kerana berpuasa, empat tahun lalu menerima balasan apabila dipenjara enam tahun 10 bulan dan didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Chung Chee Yang, 47, disabitkan bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya di daerah ini pada 2021.
Siti Zubaidah dalam penghakimannyaa berkata, mahkamah meneliti semua keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan.
“Pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan pindaan itu. Justeru, tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima dan setahun serta 10 bulan. Selain itu, denda masing-masing RM10,000 dan RM2,000,” katanya di akhir kes pembelaan itu.
Semua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan dan mahkamah turut menolak permohonan penangguhan pelaksanaannya.
Jika gagal membayar denda itu, Chee Yang turut akan dipenjara tambahan selama 21 bulan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan jenayah iaitu ugutan mahu menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd. Azminizam Zulkepli, 48.
Dia turut didakwa mengeluarkan perkataan mengaitkan Allah dan puasa dengan niat melukakan perasaan yang didengar oleh Mohd. Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 31.
Bagi pertuduhan ketiga, Chee Yang didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd. Azminizam.
Perbuatan itu dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi di sini, antara pukul 9.30 hingga 10.30 malam, 13 April 2021. – KOSMO! ONLINE