PETALING JAYA – Dunia bagaikan gelap seketika, pelakon Scha Alyahya mengakui hilang arah selepas pemergian ibu tercinta, Allahyarham Junainah Hashim pada 7 Disember lalu.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 41, berkata, kehilangan tersebut memberi kesan besar dalam hidupnya.
“Semasa ibu saya meninggal dunia pada Disember, itu perkara yang paling saya takut. Saya rasa macam hidup ini sudah tidak ada tujuan.
“Ibu saya adalah suri teladan saya. Dia sangat kuat. Ramai cakap dia ada dalam diri saya ke mana saja saya pergi. Tetapi saya masih dalam proses bersedih. Memang akan ambil masa.
“Saya bukan cuba untuk move on tetapi kena move forward. Itu yang saya sedang cuba lakukan,” katanya dalam podcast Wardah Heart to Heart bersama Dayah Bakar.
Tambah pelakon Awan Dania itu, hubungannya dengan arwah cukup rapat sehingga setiap perkara dikongsi bersama.
“Rutin saya ketika ibu masih ada, saya akan hubungi setiap masa. Rumah dia dalam 10 minit saja dari rumah saya.
“Bila saya keluar bekerja atau melancong ke luar negara, saya akan video call dia sekurang-kurangnya dua atau tiga kali.
“Bila saya dapat skrip, ibu saya yang akan baca. Bila ibu dah tak ada sekarang, saya rasa satu kehilangan besar dalam hidup,” luahnya.
Tambahnya, sejak kehilangan ibu, dia lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah untuk mencari ketenangan.
“Sejak ibu saya pergi, saya ada satu rutin baru. Saya akan duduk dan renung diri. Saya buat terapi sendiri iaitu bercakap dengan Allah.
“Sangat sakit untuk saya simpan sendiri. Jadi saya cuba berkongsi rasa itu dengan-Nya,” dedahnya.
Isteri kepada Awal Ashaari itu juga menasihatkan mereka yang masih mempunyai ibu bapa agar menghargai setiap saat bersama.
“Sejak ibu saya meninggal, saya selalu ingatkan dekat kawan-kawan selagi ada jaga. Tak kisah la ada momen tak bercakap atau pernah bergaduh.
“Saya nasihatkan untuk letak tepi semua itu kerana kita tak tahu apa yang akan terjadi pada diri kita.
“Allah boleh ambil bila-bila masa saja. Kita tak nak, apabila sudah terjadi baru nak sedar,” katanya.
Pemergian ibu tersayang benar-benar mengubah perspektif hidup Scha namun sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, dia perlu kuat untuk meneruskan kehidupan. – KOSMO! ONLINE