BANGKOK – Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh di Thailand dan Myanmar setakat ini selepas gempa bumi kuat menggegarkan dua negara Asia Tenggara itu petang tadi.
Gempa cetek bermagnitud 7.7 itu mencetuskan gegaran hingga ke Bangkok, mendorong Thailand dan Myanmar mengisytiharkan darurat.
Di Bangkok yang diisytiharkan kawasan bencana oleh pihak berkuasa, sebuah bangunan sedang dibina runtuh dekat Pasar Chatuchak.
Kementerian Pertahanan Thai menyatakan, sekurang-kurangnya 81 orang hilang dan tiga mangsa terbunuh dalam bencana itu.
“Tujuh mangsa pula diselamatkan dari bawah runtuhan,” kata kementerian berkenaan hari ini.
Di Myanmar, sekurang-kurangnya tiga orang terkorban selepas sebuah masjid runtuh di Taungoo, demikian menurut dua orang saksi kepada agensi berita Reuters.
Media tempatan melaporkan bahawa dua lagi mangsa maut dan 20 cedera selepas sebuah hotel runtuh di Aung Ban. – AGENSI