SEPANG – Jumlah penumpang khususnya bagi perlepasan dalam negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Lumpur Terminal 2 (KLIA2) dilaporkan mulai sesak berikutan sambutan Aidilfitri yang dijangka Isnin depan.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! bermula pukul 11 pagi tadi, kapasiti penumpang bagi laluan domestik terutama penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan terus meningkat hari ini berbanding semalam.
Menurut seorang juruteknik, Nurul Najieha Sharom,28, beliau mengambil keputusan pulang ke Kota Kinabalu, Sabah pada tengah hari ini bagi mengelakkan peningkatan penumpang pada waktu petang.
“Seperti ramai jangkakan, jumlah penumpang akan meningkat pada sebelah petang untuk pulang ke kampung halaman, jadi saya ambil keputusan untuk terbang lebih awal.
“Ini tahun kedua saya beraya di Kota Kinabalu memandangkan suami bekerja sebagai polis di sana, memang perlu buat persediaan awal termasuk membeli tiket kapal terbang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di KLIA2 hari ini.
Sementara itu, bagi sorang penjawat awam, Mariati Fauzi,38, yang pulang ke Bachok, Kelantan berkata, dia tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk pulang menaiki pesawat sempena Aidilfitri.
“Meskipun harga tiket pesawat pada hari raya harga sedikit ‘keras’, namun saya tidak kisah kerana tidak mahu tersekat di dalam kesesakan jika pulang dengan menaiki kereta.
“Sejak bekerja di ibu kota, ini sudah masuk tahun ke-10 saya pulang beraya di Kelantan dengan menaiki pesawat, ia lebih mudah dan menjimatkan masa,” katanya.
Bagi pegawai penjara, Mohd. Saiful Tasip, 26, dia menasihatkan penumpang yang bakal pulang beraya untuk berada lebih awal di KLIA2 bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
“Pada musim perayaan jumlah penumpang sentiasa ramai, jadi kita perlu rancang perjalanan sebaiknya agar tidak berdepan situasi panik termasuk tertinggal pesawat.
“Seperti saya, meskipun penerbangan ke Labuan pada sebelah petang, namun saya sudah berada di KLIA2 sejak pukul 8.30 pagi tadi,” jelasnya.
Dalam pada itu, berdasarkan nasihat penerbangan dikeluarkan AirAsia, penumpang dinasihatkan berada di lapangan terbang
sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi penerbangan domestik dan tigajam bagi penerbangan antarabangsa.
Tempoh itu bagi membolehkan penumpang melalui proses perjalanan semasa tempoh perjalanan puncak dengan lebih selesa dan terkawal. – KOSMO! ONLINE