GUA MUSANG – Kenderaan mula bertali arus memasuki Kelantan melalui Gua Musang hari ini berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kenderaan bertali arus memasuki daerah ini sejak semalam, namun trafik masih lancar dan keadaan itu dijangka berterusan menjelang malam raya.
Seorang perantau, Muhammad Hafsham Radzi, 22, berkata, dia bersama dua lagi rakannya berkonvoi menaiki motosikal mengambil keputusan untuk bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 4 pagi tadi.
Katanya, aliran trafik lancar sepanjang perjalanan dan kesesakan hanya berlaku di beberapa lokasi.
Mohammad Hassan Nawwar Mohammad, 30, berkata, dia juga merancang perjalanan dan merujuk aplikasi Waze untuk mengelak kesesakan.
“Saya melalui Lebuh Raya Karak dan perjalanan lancar sehingga ke Gua Musang. Semasa tiba di kawasan pembinaan LTU Gua Musang, perjalanan kenderaan sedikit perlahan apabila kami terpaksa menempuh kesesakan akibat jalan yang agak sempit dalam tempoh 30 minit. Lepas 5 jam sampai kampung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, berlaku pertambahan kenderaan yang masuk ke daerah Gua Musang bermula semalam dan ia dijangka berterusan sehingga malam 1 Syawal. – KOSMO! ONLINE