KLUANG – Hasrat seorang pramugari syarikat penerbangan Batik Air pulang ke kampung untuk mengambil keluarganya beraya bersama tidak kesampaian apabila wanita itu terkorban dalam kemalangan di Kilometer (KM) 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, malam tadi.
Dalam nahas pada pukul 11.30 malam itu, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, antara lima mangsa yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan.
Menurut ibunya, Mimi Sabrina Yusuf, 47, anak keduanya daripada enam beradik itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang untuk membawa keluarga beraya di rumah sewanya di Sepang, Selangor.
Katanya, Iklil Nuraudah meminta mereka bersiap awal kerana bercadang bertolak selepas Subuh.
“Saya tunggu sampai pukul 12 tengah malam, tapi dia masih tak tiba. Saya mula risau, takut ada perkara buruk berlaku.
“Pagi tadi, kira-kira pukul 5 pagi, anak sulung saya telefon dan beritahu berita sedih ini. Kehilangannya amat terasa, lebih-lebih lagi dua hari sebelum Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini hari ini.
Sementara itu, bapa arwah, Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, menyifatkan anaknya seorang bertanggungjawab terhadap keluarga dan suka menyayangi keluarga.
“Dia selalu memberi wang belanja kepada kami, RM1,000 setiap bulan dan banyak membantu dalam urusan keluarga. Kami tak sangka kehilangan dia secepat ini, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri,” katanya sebak.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai. – KOSMO! ONLINE