KOTA BHARU – Seorang warga emas tidak sempat menunaikan solat isyak dan tarawih selepas meninggal dunia semasa berada di atas kerusi saf paling depan Masjid Mukim Padang Mokkan, Peringat di sini semalam.
Mangsa, Mokhtar Abdul Rahman, 76, menghembuskan nafasnya di atas kerusi dalam keadaan menggenggam wang kertas RM5 untuk diisi ke dalam tabung masjid kira-kira pukul 8.20 malam selepas menunaikan solat sunat dan bersiap sedia untuk solat isyak.
Bendahari Masjid Mukim Padang Mokkan, Mohd. Azuan Mat, 43, dia menyedari arwah meninggal dunia selepas mendapati kepalanya terkulai ketika berada di kerusi sementara menunggu solat isyak.
Menurutnya, dia cuba mengejutkan arwah beberapa kali selepas melihatnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya bersama jemaah lain mengangkat arwah Mokhtar turun dari kerusi sebelum mendapati warga emas itu sudah tidak bernyawa. Wang kertas RM5 turut berada di dalam genggamannya untuk diisi ke dalam tabung masjid,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi Klinik Kesihatan Peringat di sini untuk memaklumkan mengenai kematian warga emas itu.
“Arwah Mokhtar yang sudah kematian isteri sebelum ini pernah menerima rawatan susulan di hospital kerana menghidap sakit jantung. Dia kini tinggal bersama seorang anak perempuan yang merupakan ustazah berusia dalam lingkungan 30-an.
“Jenazah warga emas itu akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Keranji, Peringat di sini pada pukul 3 petang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE