PETALING JAYA – Meraih sambutan luar biasa, naskhah terbitan Viu Malaysia diangkat sebagai drama nombor satu paling popular di platform penstriman itu bukan sahaja di negara ini, bahkan di Viu Indonesia.
Drama bersiri lakonan Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana itu memperoleh lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu Malaysia.
Dalam masa sama, pencapaian karya terbitan Erma Fatima itu juga mengatasi drama bersiri Korea popular seperti Undercover High School, The Witch dan Study Group di platform Viu.
Secara umum, Bidaah yang ditayangkan sejak 6 Mac lalu turut meraih pujian dalam kalangan penonton Indonesia yang dikatakan sangat relevan dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.
Bukan itu sahaja, data daripada Google Trends menunjukkan drama terbabit antara carian paling popular di Thailand, Singapura dan Brunei.
Selain Faizal, Riena dan Fattah, pelakon lain terlibat dalam drama idea asal Erma Fatima itu ialah Fazlina Ahmad Daud, Vanidah Imran, Fathia Latiff, Marisa Yasmin dan Hasnul Rahmat.
Sebelum ini, drama yang mengangkat kisah ajaran sesat itu mengundang reaksi netizen selepas tular babak panas Ummi Rabiatul lakonan Vanidah menyentuh janggut Faizal (Walid) menggunakan kaki dalam satu babak atas katil – KOSMO! ONLINE