GUA MUSANG – Laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini yang yang sebelum ini ditutup akibat tiga kejadian lubang benam dibuka semula untuk laluan kenderaan bermula petang semalam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang berkata, jalan sementara itu dibuka dua hala kira-kira pukul 5 petang semalam untuk laluan kenderaan ringan sahaja sempena Hari Raya Aidilfitri ini.
Menurutnya, pemantauan berterusan akan dijalanlan sepanjang pembukaan laluan sementara itu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Pengguna disaran berhati-hati dan merancang perjalanan dengan mematuhi papan tanda yang telah disediakan,” kata kenyataan itu.
Seorang pemandu lori, Mohd. Helmi Ali, 39, berkata, dia yang menetap di Tapah, Perak bersyukur jalan yang ditutup sejak pertengahan bulan ini dibuka semula.
Katanya, dia kerap berulang-alik menggunakan lalun itu untuk pulang ke kampung.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Shamira Ghazali, 43, berkata, dia kerap menggunakan Jalan Gua Musang-Lojing untuk berulang-alik dari Ipoh, Perak ke Terengganu.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini yang ditutup akibat tiga kejadian lubang benam. – KOSMO! ONLINE