fbpx

Ibu, anak lelaki didakwa aniaya dua beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang ibu dan anak lelakinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menganiaya dua beradik lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 65 tahun dan 29 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar.

Kedua-dua mangsa yang kini berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, adalah cucu dan anak saudara kepada tertuduh, yang dijaga oleh mereka.

Mengikut kedua-dua pertuduhan itu, mereka sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kedua-dua kanak-kanak lelaki itu didakwa dengan sengaja menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia lapan dan enam tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sentul di sini, antara Januari 2025 hingga Mac 2025 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Selain itu kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Ridzuan Sihat yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang berusia 65 tahun tidak bekerja manakala tertuduh yang berusia 29 tahun hanya bekerja sebagai jurujual dan perlu menanggung keluarga.

“Kedua-dua mangsa adalah cucu dan anak saudara kepada tertuduh yang dijaga oleh mereka (ketika kejadian),” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Tasnim kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan kes pada 24 April. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI