PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya mendapati kenderaan berat berat yang membawa muatan melebihi had dibenarkan menjadi punca utama kerosakan jalan raya.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi jawatankuasa khas berkaitan isu muatan melebihi had itu, kini sedang berbincang bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Kenderaan berat satu punca yang jelas merosakkan jalan. Sebab itu ada had muatan, namun masih ada yang melanggar peraturan.
“Ketika ini, Ketua Setiausaha dan pegawai daripada KKR dan MOT sedang melihat bagaimana menangani isu ini,” katanya selepas mengadakan tinjauan trafik di Restoran Jejantas Sungai Buloh (Arah Utara) di sini, sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa kenderaan berat yang membawa muatan melebihi 10 peratus daripada berat dengan muatan (BDM), boleh menyebabkan jangka hayat jalan raya menurun sehingga 50 peratus.
Dalam perkembangan lain, Nanta berkata pihaknya belum menerima laporan terperinci daripada syarikat konsesi mengenai kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian dua pelajar adik-beradik di Kluang, Johor baru-baru ini.
Katanya, dia menemui pihak syarikat konsesi itu di Melaka pada Rabu lalu dan mengarahkan mereka segera menyediakan laporan berikutan kematian Norhazim Kamaruzaman, 17 dan Nur Alif Ikhwan, 16, akibat kecederaan parah di kepala serta badan selepas motosikal ditunggang terlanggar lubang ketika dalam perjalanan ke sekolah.
Dalam pada itu, Nanta berkata kesiapsiagaan pelbagai agensi bagi menghadapi pertambahan kenderaan di semua lebuh raya utama sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, yang dijangka disambut pada Isnin depan, berada pada tahap terbaik. – KOSMO! ONLINE.