PUTRAJAYA- Tiada rakyat Malaysia dilaporkan tercedera dan terjejas susulan kejadian dua gempa bumi kuat yang melanda Myanmar sehingga menyebabkan kecederaan serta kemusnahan harta benda di kawasan terlibat.
Susulan itu, menurut Kementerian Luar Negeri, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok sedang memantau dengan rapat situasi tersebut.
“Semakan awal Kedutaan Besar Malaysia di Yangon bersama komuniti rakyat Malaysia mendapati semua rakyat negara ini berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas setakat ini.
“Di Thailand, laporan awal menunjukkan bahawa sistem pengangkutan utama termasuk MRT, BTS dan kereta api lapangan terbang di Bangkok telah digantung operasi susulan gegaran tersebut.
“Laporan awal turut mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang tercedera di sana,” katanya dalam kenyataan, di sini tadi.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok yang terletak di Kronos Office Tower turut ditutup sementara bagi tujuan penilaian keselamatan.
“Buat masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menghampiri kawasan premis kedutaan yang sedia ada.
“Sekiranya berlaku kecemasan atau gegaran susulan yang kuat, rakyat Malaysia di Bangkok dinasihatkan untuk berkumpul di Kompleks Kedutaan bersebelahan Sathorn Garden dan bukan di lokasi Kronos Sathorn Tower,” katanya.
Selain itu, rakyat Malaysia yang berada atau dalam perjalanan ke Myanmar dan Thailand dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan.
Terdahulu, gempa bumi pertama dengan magnitud 7.7 berlaku sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) dengan pusat gempa terletak di Wilayah Sagaing, barat laut Myanmar.
Gempa kedua dengan magnitud 6.4 pula berlaku tidak lama selepas itu di mana gegaran susulan daripada kedua-dua gempa turut dirasai di Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh City.
Menurut laporan media tempatan di Myanmar, darurat telah diisytiharkan di Wilayah Sagaing, Mandalay, Magway, Bago, Negeri Shan Timur dan Naypyidaw.
Perdana Menteri Thailand turut mengisytiharkan darurat di Bangkok sementara penilaian tahap kerosakan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE