HULU TERENGGANU – Perjalanan empat sekeluarga untuk pulang beraya berakhir tragedi apabila seorang ibu maut manakala suami dan tiga daripada empat anaknya cedera dalam kemalangan di Kilometer (KM) 416.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Ajil di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 4.50 pagi itu, mangsa, Noor Shirlyna Irma Ngah, 42, yang juga Pakar Oftalmologi Hospital Shah Alam, Selangor meninggal dunia akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Suami wanita itu, Abdul Manaf Abdullah, 42, yang merupakan pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pula cedera parah pada bahagian muka dan tangan kanan.
Kemalangan berpunca selepas kenderaan pelbagai guna, Nissan Serena dinaiki keluarga itu merempuh lori membawa muatan telur ayam turut mencederakan tiga anak pasangan terbabit iaitu Aqeef Hakimi, 6; Muhammad Na’im Al Faiz, 15, dan Muhammad Iman Huzaifah, 17.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, enam beranak terbabit dikatakan dalam perjalanan untuk pulang beraya di kampung halaman di Kampung Salor, Kota Bharu, Kelantan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Nissan Serena dinaiki keluarga tersebut dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh belakang sebuah lori membawa muatan telur ayam.
“Impak rempuhan tersebut menyebabkan kenderaan itu dikatakan berpusing di lebuh raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Sharudin berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan Noor Shirlyna Irma telah meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE