fbpx

Datuk Jamal tidak perlu minta maaf, tidak perlu diungkit – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamal kini dirawat di sebuah hospital kerana kanser.

PETALING JAYA – “Bagi saya tidak perlulah mengungkit perkara itu kepada saudara se-Islam kita yang sedang menghadapi kesukaran”.

Demikian reaksi Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung permintaan pihak tertentu supaya Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang sedang menerima rawatan akibat kanser memohon maaf kepadanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, semua pihak sepatutnya mendoakan semoga Jamal yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar kembali sembuh dan sihat seperti sedia kala.

“Saya diberitahu bahawa Datuk Jamal Yunos kini sedang dirawat di hospital kerana sakit kanser paru-paru dan kini telah merebak ke otak.

“Saya terbaca ada yang menyuruh Datuk Jamal meminta maaf kepada saya kerana kata-kata yang tidak wajar dilemparkannya terhadap saya dahulu semasa saya sedang menentang UMNO kerana kes 1MDB. Bagi saya tidak perlulah mengungkit perkara itu.

“Saya pula nak ambil kesempatan ini nak minta maaf kepada Datuk Jamal jika ada kesilapan dan kesalahan saya terhadapnya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Jamal kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas mengalami masalah kesihatan sejak Sabtu lalu.

Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim yang melawat Jamal pada malam Khamis memaklumkan, Jamal dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian leher dan kepala.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan doktor termasuk ujian pengimejan resonans magnet (MRI) menunjukkan sel kanser merebak ke bahagian otak.

“Sebelum ini (sel kanser) berada di paru-paru dan merebak ke bahagian otak dengan saiz ketumbuhan sekitar 3 cm (sentimeter),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI