fbpx

‘Cetak rompak alaf baharu, buat duit hasil kerja haram di YouTube’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awie meluahkan kekecewaan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan eksklusif Wings termasuk baju T tiruan.

PETALING JAYA – Hasil penat lelah ‘dirompak’, Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah (RPM) Datuk Eddy Amir Salim memberi amaran kepada pihak yang memuat naik kandungan konsert TRIAD dan mengenakan caj agar menurunkan video tersebut dengan segera.

Eddy selaku rakan kongsi vokalis Wings, Datuk Awie menegaskan sekiranya masih berdegil, mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang

“Individu terbabit membeli tiket konsert anjuran RPM di tempat paling hadapan dan membuat rakaman penuh, malah ada juga yang mengadakan sesi siaran langsung sehingga ke akhir.

“Kemudian, mereka muat naik di platform media sosial dan YouTube seterusnya mengenakan caj langganan antara RM17 hingga RM60 sebulan.

“Ini adalah cetak rompak alaf baharu. Jika tidak dibendung boleh menjejaskan penganjur konsert seperti kami. Bayangkan berapa banyak mereka boleh buat duit hasil kerja haram ini?

“Kami bukan bercerita mengenai kerugian, tetapi impak kepada keseluruhan industri muzik terutama hak penggiatnya,” katanya ditemui di Majlis Iftar RPM dan pengumuman konsert ulang tahun empat dekad Wings, di sini, malam tadi.

Hal tersebut disuarakan selepas melihat impak cetak rompak membabitkan konsert TRIAD iaitu Awie mengetuai persembahan dengan tiga band, Search, Wings dan Dragon Malaya di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu.

Awie (kiri) bersama rakan kongsinya merangkap Pengarah Urusan Rumah Produksi Merah (RPM)  Eddy Amir Salim memberi amaran kepada pihak yang memuat naik kandungan konsert TRIAD dan mengenakan caj agar menurunkan video tersebut dengan segera. – AFIQ RAZALI

Enggan isu sama berulang, RPM berhasrat bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh terdekat bagi membincangkan permasalahan tersebut.

“Ini bukan isu baharu. Sudah banyak konsert lain pernah menjadi mangsa sekali gus pertemuan ini diadakan bagi mencari kata sepakat dan meminta bantuan kerajaan mengekang permasalahan ini dari terus berleluasa.

“Jika diikutkan, kami boleh mengambil tindakan berdasarkan amaran yang tertera di tiket iaitu larangan untuk membawa peranti dan merakam sepanjang konsert berlangsung.

“Tapi, kami belum sampai ke tahap itu sebaliknya beri amaran dahulu minta mereka menurunkan kandungan tersebut di plaform media sosial masing-masing,” jelasnya.

Lebih membuatkannya kesal apabila pihak berkenaan bukan sahaja mengaut keuntungan berlipat kali ganda secara atas angin, malah turut mengganggu proses RPM menjual kandungan kepada pihak berlesen.

Sementara itu, selain turut kesal berdepan isu cetak rompak digitak, Awie turut meluahkan kekecewaan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan eksklusif Wings termasuk baju T tiruan.

“RPM adalah pengeluar sah kepada semua barangan eksklusif Wings, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab menciplak dan menjualnya secara haram.

“Ini juga antara masalah yang kami hadapi ketika ini sejak lama dahulu. Seperti beberapa siri konsert Wings yang ‘dijual’ tanpa kebenaran kami, barangan premium Wings turut terjejas,” ujarnya.

Terdahulu, pada majlis itu, RPM turut berkongsi pelbagai perancangan yang sudah disusun untuk Wings sempena sambutan ulang tahun ke-40 band rock terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI