fbpx

K2

Bolehkah solat hari raya bersendirian?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hukum mengerjakan solat hari raya secara bersendirian adalah sunat. – Gambar hiasan

ASSALAMUALAIKUM, saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian? Apakah hukumnya?

JAWAPAN: PADA setiap 1 Syawal, seluruh umat Islam akan berhimpun bagi meraikan hari yang berbahagia iaitu Hari Raya Aidilfitri. Mereka akan keluar menuju ke tempat solat atau kawasan lapang bagi menunaikan solat sunat hari raya secara berjemaah. Perkara ini ada dinukilkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, beliau berkata: “Kebiasaannya Rasulullah SAW pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha keluar menuju ke tempat solat. Perkara pertama yang baginda mulakan ialah solat (sunat hari raya), kemudian baginda berpaling dan berdiri menghadap orang ramai yang sedang duduk di saf-saf mereka lalu baginda memberi peringatan, wasiat dan perintah kepada mereka. Sekiranya baginda ingin mengutuskan pasukan, maka baginda utusnya, atau baginda ingin memerintahkan sesuatu, maka baginda memerintahkannya.” (Riwayat al-Bukhari (956)

Oleh demikian, berdasarkan hadis ini, perkara pertama dimulakan oleh Rasulullah SAW pada pagi hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha adalah solat dan mengerjakannya adalah sunat muakkad (sunat yang dituntut).

Seterusnya, ia juga disyariatkan untuk dikerjakan secara berjemaah berdasarkan sunah Nabi SAW. Namun, berbalik persoalan yang diutarakan, bagaimana sekiranya ia dilakukan secara berseorangan? Apakah hukumnya?
Imam al-Syirbini ada menukilkan bahawa disunatkan juga untuk mengerjakannya secara bersendirian. Meskipun begitu, mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih baik dan lebih afdal.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili turut menyebut hal yang sama dengan lafaz.

“Dan disyariatkan juga solat hari raya (agar dilaksanakan) secara berjemaah sebagaimana yang Rasulullah SAW lakukan, ke atas setiap lelaki yang dituntut untuk mengerjakan solat berjemaah dan juga disyariatkan ke atas orang yang solat secara bersendirian dengan hukum sunat, namun mengerjakan solat sunat hari raya secara berjemaah adalah lebih afdhal.”

Adapun, bagi jemaah haji yang mengerjakan solat sunat Aidiladha di Mina, tidak disunatkan ke atasnya untuk mengerjakan solat sunat hari raya tersebut secara berjemaah, sebaliknya disunatkan dikerjakan secara bersendirian.

Sekiranya, ia dilaksanakan secara berjemaah, ia telah menyalahi sunah Nabi. Hal ini kerana Rasulullah meninggalkannya atas sebab urusan manasik haji dan juga mengajar manusia tentang hukum-hakamnya dan semua ini lebih penting daripada perayaan.

Di samping itu, hikmahnya di sini adalah bagi meringankan para jemaah haji untuk menguruskan hal ehwal tahallul mereka dan bergerak menuju ke Mekah berbanding mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah dan mendengar khutbah.

Kesimpulannya, hukum mengerjakan solat sunat hari raya secara bersendirian adalah sunat, begitu juga mengerjakannya secara berjemaah. Sah solat sunat hari raya jika tidak mendengar khutbah raya. Hal ini kerana, penyampaian khutbah dan juga mendengarnya termasuk dalam perkara sunat dan ia bukanlah syarat sahnya solat hari raya. Namun, mendirikan solat sunat hari raya secara berjemaah lebih afdal.

Akhir kalam, kami berharap kita semua dapat bersama hadir menyertai solat hari raya secara berjemaah agar dapat meraih pahala sebanyak mungkin dan memupuk hubungan silaturahim sesama masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI