PETALING JAYA – “Tadi ada orang hantar botol air pada saya, takut saya haus masa terawih.”
Demikian perkongsian pelakon Riena Diana yang berbesar hati apabila kekasihnya, Keith Foo sanggup menghantarkan barang tersebut kepadanya di masjid.
Tindakan spontan aktor terbabit menunjukkan keprihatinannya terhadap insan tersayang yang meraih pujian netizen.
Malah, ramai menyatakan Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Riena Zulreal, 28, bertuah didampingi lelaki budiman seperti Keith.
Pada masa sama, ada dalam kalangan netizen mendoakan pasangan itu segera mendirikan rumah tangga sekali gus membolehkan aktor berdarah kacukan Cina-India itu dapat bersama-sama Riena solat terawih.
Tidak kurang juga yang mengusik menyatakan perasaan cemburu terhadap layanan diberikan lelaki terbabit.
“Seronok tengok, bersemut. Harap tahun depan Riena dan Keith berjodohan dengan cepat,” kata netizen.
“Mungkin tahun depan mereka dah boleh solat terawih berdua,” tulis netizen lain.
“Ambillah bumi ini. Semuanya milik kamu berdua,” komen pemilik akaun lain pula.
Hubungan dua bintang sensasi ini semakin serius selepas berpasangan dalam drama Salju Rindu di Bumi Auckland tahun lalu.
Biarpun berlainan agama, Keith sebelum ini mengakui tidak kisah menghantar dan menunggu kekasihnya solat di masjid.
Bahkan, pemilik nama sebenar Foo Chuan Chin, 42, itu turut memaklumkan kini sedang belajar mengenai Islam.
Difahamkan mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga tahun hadapan.- KOSMO! ONLINE