BARCELONA – Barcelona terus mendominasi La Liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Osasuna di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 19 perlawanan berturut-turut.
Penyerang, Ferran Torres membuka tirai jaringan pada minit ke-11, menyempurnakan hantaran silang Alejandro Balde dengan sentuhan pertama yang tenang di dalam kotak penalti.
Tidak lama selepas itu, Dani Olmo menggandakan kelebihan pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti sebelum Robert Lewandowski menutup kemenangan dengan tandukan jarak dekat di babak kedua untuk memastikan tiga mata berpihak kepada tuan rumah.
“Setiap perlawanan adalah seperti final bagi kami mulai sekarang dan hari ini tiada bezanya. Kami menyelesaikannya dengan cepat dan berkesan, itulah yang penting. Tiga mata dan terus maju,” kata Torres.
Kemenangan itu membolehkan Barcelona mengumpul 63 mata daripada 28 perlawanan, mengukuhkan kedudukan mereka di puncak La Liga dengan kelebihan tiga mata ke atas juara bertahan di tangga kedua, Real Madrid.
Sejak penghujung Disember, Barcelona adalah satu-satunya pasukan dalam lima liga utama Eropah yang masih belum tewas pada tahun 2025, mempamerkan kekuatan pasukan yang tidak tergugat. – AGENSI