PETALING JAYA – Bekalan telur di pasaran sepanjang bulan Ramadan tahun ini didapati mencukupi bagi memenuhi keperluan orang ramai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan telur juga dijangka stabil sempena Aidilfitri.
“Allhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan.
“Memastikan bekalan telur stabil di pasaran sepanjang Ramadan dan insya-Allah Aidilfitri ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Amerika Syarikat (AS) berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam serius berikutan wabak selesema burung H5N1.
Keadaan itu menyebabkan bekalan telur ayam di negara tersebut makin berkurangan di pasaran dan sukar diperoleh sehingga perlu di import dari Korea Selatan dan Turkiye.
Berikutan itu, terdapat dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam dari negara ini ke AS disebabkan harganya yang meningkat mendadak. – KOSMO! ONLINE