JOHOR BAHRU – Polis Johor menugaskan seramai hampir 2,000 pegawai dan anggota di negeri ini sepanjang Op Selamat 24/2025 yang dilaksanakan bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, ia terdiri daripada 251 pegawai dan 1,747 anggota meliputi semua elemen termasuk Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
Katanya, operasi kali ini memberi fokus kepada dua objektif utama iaitu meminimumkan kadar kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang musim perayaan.
“Justeru, Polis Johor akan menjalankan penguatkuasaan terhadap enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju,
memandu di lorong kecemasan dan memotong di garisan berkembar.
“Penguatkuasaan turut beri tumpuan kesalahan memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat komunikasi semasa memandu,” katanya selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya PDRM Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Johor sempena Op Selamat 24/2025 Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 di Plaza Tol Perling, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE