GEORGE TOWN – Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang remaja maut, manakala seorang lagi mangsa cedera, Februari lalu.
Tertuduh, Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa memandu kereta jenis Honda Jazz di bawah pengaruh minuman memabukkan dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian Thomas Ch’ng Kai Hen, 18.
Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas Ooi Qi Heng, 18. Kesalahan dilakukan pada pukul 9.48 malam, 19 Februari lalu di Jalan Jelutong, George Town.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan, manakala lesen dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diarahkan untuk melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April ini untuk serahan dokumen. Difahamkan, tertuduh membayar wang jaminan itu. -KOSMO! ONLINE